Hari ni, terbaca di dada akhbar berkenaan isu pengajaran bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik (PPSMI). Dari situ lah, terfikir sejenak, betapa mustahaknya kita dalam rumpun Melayu ni perlu mengekalkan bahasa kesayangan kita, bahasa Melayu. Kerana kita di bawah lembayung Malaysia, sudah pasti acuan kita, bahasa Melayu yang menjadi kebanggaan kita.
Takkan Bahasa Melayu Hilang Di Dunia. Ya, usul ni pun pernah diperdebatkan di pentas akhir Debat DiRaja antara UMS dan UM, masing-masing diwakili oleh abg Harmi n Ejan. Usul telah diterima dalam perdebatan ini dan kes menang.
Namun, adakah pemansuhan PPSMI ini akan diterima dan menjadi kenyataan? Itu yang menjadi titik persoalan sekarang. Dalam senario sekarang, wujud dua kelompok. Kelompok mahukan PPSMI ini diteruskan. Satu lagi, kelompok yang mahu mengagungkan bahasa Melayu diteruskan yakni Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu.
Jadi, anda hendak menjadi kelompok mana satu? Tanya sendiri dalam sanubari anda. Bagiku, sudah semestinya menjadi kelompok yang mahukan pemansuhan PPSMI ini, mahukan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini dalam bahasa Melayu. Mungkin anda tertanya-tanya kenapa tindakanku sedemikian?
Ini kerana sepanjang pengalamanku menjadi seorang guru dan mengajar subjek Matematik Tingkatan 4 dan 5 dalam medium bahasa Inggeris di SMKT (sebuah sekolah luar bandar), rasa sangat simpati dan kasihan terhadap pelajar yang terkial-kial untuk mempelajari subjek kritikal ni.
Ingat lagi, minggu 1 dan 2 aku mengajar Matematik ni, sepanjang tempoh itu aku menyampaikan ilmu tersebut dalam bahasa Inggeris. Tapi, apa yang terjadi, kelas menjadi pasif. Diam, seolah-olah sangat menumpukan perhatian. Padahal tidak. Apabila kutanyakan seorang pelajar di luar kelas, rupanya mereka takut untuk bersuara. Nanti, kalau kena tanya soalan, nak menjawab soalan tersebut dalam bahasa Inggeris adalah menjadi suatu beban yang amat berat bagi diri mereka.
Jadi, pendekatan pengajaran yang aku buat untuk memastikan suasana dan interaksi di dalam kelas hidup, kembali aktif adalah dengan satu cara. Mula2 aku bagi kat students, vocabulary yang selalu digunakan dalam sesuatu topik yang dipelajari. Aku suruh diorg hafal. Kemudian, tulis nota dan latihan dalam english. Aku sampaikan dulu dalam english. Kalau aku tengok muka students blur semacam, erm...faham lah aku maksud diorg. Kenalah aku menterjemah perkataan demi perkataan yang aku tulis dan sampaikan sehingga diorg betul2 faham. Memang modus operandi pengajaran begini berkesan bagi aku dan diterima oleh students. Tetapi, masalahnya, kita diberikan masa dalam sehari untuk mengajar subjek ni lebih kurang 2 jam jer. Tak cukup. Memang tak cukup. Kita mengajar, sambil kita menterjemah. Bukankah membuang masa namanya. Baik straight to the point. Ajar dalam bahasa Melayu.
Lepas tu, kalau student tu memang hebat english, tidak menjadi masalah apabila mereka mengulangkaji Matematik secara kendiri di rumah. Masalah yang timbul, apabila student tu memang pemahamannya kurang dalam english. Nak mengulangkaji Matematik di rumah. Buku teks Mate dalam english. Tambah lagi buku rujukan dalam English. Kemudian, mak ayah mereka yang bersekolah di luar bandar ni, majoritinya bukan bekerja dalam bidang profesional seperti doktor, anak menteri, pegawai daerah mahupun guru. Majoriti mak ayah mereka bekerja sendiri, petani dan lain-lain. Maka, persekitaran untuk membudayakan bahasa Inggeris tu terbatas. Jadi, anak-anak mereka kalau nak merujuk untuk memahami apa yang dipelajari tu bagaimana? tak kesian ke kite.
Lain la kalau mereka ni dalam kalangan orang yang berada. Boleh hantar anak-anak mereka tuisyen bahasa Inggeris dan Matematik sekali. Tapi, masalahnya, mereka tak mampu. Nilai RM10 tu sangat berharga dalam hidup mereka.
Pernah aku tersentak dengan ungkapan student tatkala mereka tidak faham akan topik Probability. Maklumlah, ayat2 dalam soalan Probability ni memang berbelit-belit ckit. Apa yang diorg kata, sampai saat ni aku ingat..."Cikgu memang la boleh faham. Sebab cikgu pandai english. CUBA CIKGU JADI KAMI, PASTI CIKGU AKAN MENGERTI." Memang dalam benar maksud yang tersirat menerusi kata2 mereka ni.
Jadi, hakikatnya, memang PPSMI ni satu usaha murni untuk membuka minda bahawa bahasa Inggeris ni penting dalam dunia pekerjaan masa kini. Bagi mereka yang terdedah dengan persekitaran hidup berbahasa Inggeris, ia tidak akan menjadi masalah. Namun, tercuit rasa hati, simpati dengan mereka yang lemah dalam bahasa Inggeris lebih-lebih mereka yang duduk di pedalaman. Diajar pula Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Akhirnya, apa yang terjadi? Mereka menjadi semakin ANTI dengan subjek kritikal ini sehingga mereka menutup minda mereka bahawa Sains dan Matematik itu susah. Kita tidak mahu menumpulkan motivasi mereka.
Sebagai seorang pendidik, terasa puas apabila apa yang kita ajar dapat difahami pelajar dengan sebaiknya. Tapi, apabila 'kekangan' seperti ini wujud, rasa risau di dalam hati walaupun telah balik mengajar dari sekolah, takut-takut pelajar tidak memahami sepenuhnya.
Justeru, biar kita rugi dalam jangka masa pendek ini dengan mengorbankan kos yang tinggi untuk pengeluaran buku-buku teks Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (yang dulunya dalam bahasa Melayu) daripada kita rugi pada masa depan nanti, anak-anak kita tercicir, tidak keruan. Lebih-lebih lagi dengan bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu. Kita tidak mahu, sejarah berulang lagi tatkala tulisan Jawi dimansuhkan sekitar 1960-an, yang akhirnya masyarakat kini kurang fasih dalam membaca dan menulis tulisan Jawi.
Moga-moga, perkara samaada dimansuhkan atau tidak ini dibincangkan dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab. Fikirkan tentang kualiti, fikirkan tentang masa depan.